PERUBAHAN KIBLAT UJIAN KEPADA ORANG YANG BERIMAN




PERISTIWA Tahwil Qiblah atau perubahan arah kiblat dalam solat dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram di Makkah yang berlaku pada Syabaan adalah ujian Allah kepada orang beriman. Allah mahu menguji sejauh mana kemampuan mereka melaksanakan perintah Allah. Al-Quran menjelaskan perubahan arah kiblat itu untuk menguji orang beriman, sejauh mana kemampuan mereka melaksanakan perintah Allah. 

 Firman Allah maksudnya: "...Dan kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui siapa yang mengikut Rasul dan siapa yang membelot. "Sesungguhnya, pemindahan kib lat itu terasa amat berat kecuali bagi orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 143) 

Ujian yang dimaksudkan di sini, terbukti selepas berlaku peristiwaQiblah Tahwil. Orang Musyrikin mendakwa perubahan arah kiblat itu petanda betapa kalutnya agama yang dibawa Nabi Muhammad. Orang beriman mula bimbang kononnya sembahyang mereka selama ini tidak diterima Allah. Ayat yang diturunkan menjelaskan bahawa solat yang didirikan sebelum peristiwa tahwil tetap diterima Allah dan tidak sia-sia. Sejarah mencatatkan 10 sahabat yang meninggal dunia sebelum sempat mentaati perintah Allah. Ini kerana selama ini mereka menghadapkan muka ke Baitulmaqdis, sebenarnya pahala mereka setanding dengan mereka yang hidup dengan menghadapkan muka ke Kaabah. Mengikut sejarah, kefarduan sembahyang disyariatkan ke atas Nabi Muhammad dan orang Islam ialah ketika Mikraj Rasulullah. 

Sejak itu, arah kiblat ialah menghadap ke Baitulmaqdis di Palestin. Ada pendapat ulama yang menyatakan Rasulullah bersolat di Makkah dengan menghadap ke Kaabah, tetapi pendapat yang lebih tepat menyatakan arah kiblat ketika itu ialah Baitulmaqdis. Perkara ini berterusan hingga baginda berhijrah ke Madinah dan ketika itu arah kiblat masih menghadap ke Baitulmaqdis. Keadaan ini berterusan hampir 16 atau 17 bulan. Ibnu Ishaq menyatakan peristiwa Tahwil Qiblah berlaku selepas 18 bulan hijrah Rasulullah. 

Pada pertengahan Syaaban iaitu pada 15 Syaaban tahun kedua Hijrah, Rasulullah diperintahkan oleh Allah untuk mengubah kiblat ke Kaabah. Sebelum peristiwa ini, orang Yahudi di Madinah pelik mengapakah arah kiblat orang Islam menghadap ke Baitulmaqdis, sedangkan Baitulmaqdis adalah kiblat mereka. Menurut pengetahuan mereka, agama yang dibawa Nabi Muhammad tidak sama dengan agama yang mereka anuti. 

 Orang Yahudi menyangka Islam mengikuti dan mengamalkan beberapa tradisi dan sembahyang mereka. Cakap-cakap seumpama ini sedikit sebanyak menggusarkan hati Rasulullah, sedangkan baginda amat menginginkan arah kiblat menghadap ke Kaabah kerana ia adalah binaan yang dibangunkan Nabi Ibrahim. Rasulullah pernah meluahkan perasaan ini kepada Jibril, malah sering mendongak ke langit berdoa kepada Allah agar hasratnya didengar dan dimakbulkan. Sejak itu, Rasulullah sering menunggu supaya diturunkan wahyu agar keinginannya itu terlaksana. Sesungguhnya Kaabah diharapkan menjadi kiblat orang Islam kerana ia adalah rumah suci pertama dibina untuk menyembah Allah Yang Maha Esa. 

 Biarlah orang Islam mempunyai kiblat sendiri dan tidak mengikut apa yang diamalkan orang Yahudi. Semoga propaganda orang Yahudi berakhir dengan turunnya wahyu membenarkan hajat dan hasrat baginda. 

 Doa Rasulullah didengari Allah dan keinginan itu, akhirnya dipenuhi oleh Allah Yang Maha Mendengar. 

Turunlah wahyu Allah menerusi firman-Nya bermaksud: "Kami melihat kamu memalingkan muka kamu (untuk petunjuk) ke arah langit, sekarang kami akan palingkan muka kamu ke Qiblah yang akan memuaskan hati kamu. Maka hadapkanlah muka kamu ke arah masjid yang suci (Masjidil Haram) di mana saja kamu berada, hadapkanlah muka kamu ke arahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 144) Solat pertama yang didirikan Rasulullah menghadap Kaabah ialah Zuhur bersama Bani Salamah di masjid yang dikenali sekarang sebagai Masjid al-Qiblatain. 

Solat pertama menghadap ke Kaabah di Masjid Nabawi ialah Asar. Di masjid Quba, solat pertama menghadap Kaabah ialah Subuh, apabila berita pertukaran kiblat ini sampai kepada orang Islam di Madinah. Perubahan arah kiblat ini mengganggu fikiran orang Yahudi yang selama ini mengejek Rasulullah dan sahabat. 

Mereka kemudiannya menyebarkan khabar angin dan dengan segera Allah menurunkan wahyu menolak dakwaan mereka. Apabila mereka berhujah dengan menyatakan kebenaran itu hanya dengan menghadapkan muka ke Baitulmaqdis, Allah menurunkan ayat 142 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Mereka yang jahil dari kalangan mereka (orang Yahudi) akan berkata, apakah yang menyebabkan mereka berpaling muka dari Qiblah yang mereka sering hadapkan? "Katakan (wahai Muhammad), kepada Allah milik kedua-dua arah timur dan barat. Allah memberikan petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar."

Admin

Catat Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama