ADAKAH PASAR RAYA BESAR BENAR-BENAR MEMUSNAHKAN PENIAGA KECIL-KECILAN

Ya. Itulah jawapan yang paling tepat untuk menjawab persoalan berkenaan. Pernyataan tersebut kemungkinan besar adalah betul kerana dengan kewujudan pasar raya besar, rata-rata peniaga kecil-kecilan hampir-hampir gulung tikar. Industri peruncitan di Malaysia merupakan salah satu industri yang sedang pesat berkembang. “Cendawan tumbuh selepas hujan”, begitulah ungkapan atau perumpamaan yang sepatutnya boleh diberikan kepada industri peruncitan di negara kita. Sebagaimana yang kita tahu, setiap warganegara Malaysia kita ini selalu menyimpan hasrat untuk membuka sebuah perniagaan runcit kerana ianya senang untuk dilakukan dan hasrat kerajaan untuk melahirkan peruncit yang berjaya di dalam kalangan Bumiputera khususnya dengan bantuan, khidmat nasihat, kursus kemahiran, dan bantuan modal yang tersedia terbuka luas telah menarik minat lagi kepada sesiapa yang mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Tambahan pula pada masa ini, industri peruncitan semakin rancak dengan kehadiran para pelabur asing ke dalam negara kita oleh kerana sambutan yang amat menggalakkan oleh para pengguna kita itu sendiri.

Memperkatakan tentang definisi pasar raya besar, Duncan berpendapat bahawa pasar raya besar merupakan satu bentuk peruncitan besar yang menyediakan pelbagai pilihan barangan plastik, pakaian, peralatan, perkakasan automobil dan peralatan pertanian. Raine dan Horne pula berpendapat pasar raya besar sebagai sebuah bangunan satu tingkat dengan keluasan ruang lantai sekurang-kurangnya 50,000 kaki persegi dan terletak di kawasan populasi padat. Ia merupakan sebuah gudang runcit dan beroperasi dalam bentuk layan diri serta menyediakan tempat kereta percuma kepada pelanggan. Manakala Dictionary of Marketing Terms mengatakan pasar raya besar juga boleh didefinisikan sebagai sebuah pasar raya yang mempunyai keluasan sangat besar daripada biasa, gudang pelbagai jenis perkhidmatan dan bangunan yang menempatkan pasar raya dan pasar borong di bawah satu bumbung. Biasanya ia menjual item-item yang terdiri daripada makanan dan bukan makanan pada harga sepuluh peratus hingga lima belas peratus lebih rendah daripada harga biasa. Ia juga menyediakan barang-barang jualan dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu ruang niaga.

Perniagaan runcit sekarang sedang mengalami dua perubahan yang besar. Perubahan pertama adalah perubahan daripada pasar raya dan kedai kecil kepada pasar raya besar. Perubahan yang kedua adalah pencerobohan syarikat-syarikat dari negara-negara membangun yang lain seperti . Mereka menggunakan segala kemahiran, kepakaran teknologi yang ada, dan kebudayaan mereka, untuk membuat kejutan kepada peruncit-peruncit kita disini dan membawa kelainan cara perniagaan antara kita dan mereka. Secara ringkasnya, kebanyakannya pasaraya besar yang dimiliki oleh pelabur asing. Antaranya ialah Jaya Jusco Stores, Giant, Tmc, Tops Retails Malaysia, Makro Cash and Carry Distribution dan Tesco, dan lain-lain lagi. Jika tidak dikawal dengan bijak, peniaga-peniaga kecil mungkin akan mengalami kerugian yang besar sehingga terpaksa menutup perniagaan mereka kerana wujudnya persaingan yang tidak adil kepada peniaga-peniaga kecil yang turut bergantung kepada kelompok pelanggan yang sama.

Pernah terjadi dalam sejarah peruncitan dalam negara kita, iaitu pada tahun 2002, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah membekukan lesen dan kelulusan pembinaan pasar raya besar milik pelabur asing di negara ini kerana kerajaan menyedari persaingan akan menjejaskan masa depan peniaga runcit tempatan yang mana mereka ini telah banyak menabur jasa kepada negara dengan sumbangan dari segi pembangunan ekonomi negara. Namun begitu, pembinaan pasar raya milik pelabur tempatan masih lagi dibenarkan sehingga ke hari ini.

Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, kompleks membeli belah atau pasar raya kian bertambah hari demi hari. Kewujudan kompleks membeli belah ini bertitik tolak daripada kesukaran meletak kereta di dalam kawasan bandar. Oleh yang demikian, satu cara yang paling baik untuk mengatasi masalah ini, maka pihak syarikat telah mewujudkan satu sistem tempat meletak kenderaan yang selesa untuk para pelanggan untuk membeli dengan senang dan selesa. Pembeli atau pelanggan lebih suka membeli barangan keperluan mereka pada satu tempat di mana mereka dapat meletakkan kenderaan mereka dengan mudah tanpa rasa bimbang dan takut.

Kewujudan pasar raya atau hypermarket sememangnya telah mempengaruhi ekonomi, psikologi, kemahiran, mental, fizikal, sikap peniaga runcit kecil-kecilan itu sendiri. Oleh yang demikian, persaingan dalam industri peruncitan semestinya ada dan ianya tidak boleh dielakkan, kerana ianya akan meningkat masa demi masa dan mengikut peredaran zaman. Ini secara tidak langsung, akan memberi banyak masalah terhadap golongan peruncit tempatan itu sendiri yang baru bertapak dalam industri runcit mahupun yang sudah lama menceburinya. Industri peruncitan terdiri daripada pasar raya besar dan kecil-kecilan.

Industri peruncitan merupakan penyambung terakhir di dalam aliran produk-produk daripada pengeluar kepada pengguna. Maka ianya amat penting dalam ekonomi sesebuah negara. Ekonomi tidak boleh berfungsi tanpa peruncitan dan keberkesanan institusi peruncitan secara amnya memerlukan pemantauan dari kerajaan setiap masa. Perniagaan runcit adalah satu-satunya sektor perniagaan yang paling senang diceburi di Malaysia dan jenis perniagaan runcit yang paling popular diceburi adalah perniagaan pembekalan makanan. Maka tidak hairan lagi bagi kita, apabila kita melalui mana-mana jalan, kita mesti terjumpa dan terlihat wujudnya beberapa premis-premis peruncit kecil-kecilan yang menjalankan perniagaan berasaskan penyediaan makanan. Perniagaan jenis ini sangat mudah untuk dilaksanakan kerana prosesnya tidak merumitkan dan bermodalkan kadar sederhana. Kalau dilihat dari sudut jenis perniagaan yang diceburi oleh peniaga kecil kebanyakannya jenis perniagaan makanan dan minuman, perkhidmatan (bengkel, gunting rambut, jahitan, membaiki alatan elektrik), dan perdagangan (barang-barang tembikar, kraftangan, kedai runcit, buku, alat tulis, majalah, pakaian, perabot).

Dalam kebanyakan negara maju mahupun yang sedang membangun, peniaga kecil-kecilan merupakan tulang belakang kepada ekonomi nasional negara tersebut. Mereka memainkan peranan dan memberi sumbangan penting kepada pengeluaran negara dan kemampuan menyediakan pekerjaan kepada penduduk setempat. Tanggungjawab mereka juga penting dalam menambahkan tabungan dan pelaburan dalam ekonomi negara mereka, dalam mengagihkan pendapatan di kalangan penduduk mereka, dalam memberikan latihan dan pengembangan kemahiran untuk pekerja dan pengusaha, dalam membantu memperkukuhkan struktur asas industri nasional, dalam mempertingkatkan hubung jalin dengan firma besar dan multi-nasional dalam ekonomi dan dalam menyediakan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh firma-firma besar dan multinasional. Atas sebab ini, kepentingan peniaga kecil-kecilan dalam pembangunan ekonomi negara terus mendapat pengiktirafan yang meluas walaupun industri runcit kecil-kecilan ini semakin luntur di kalangan masyarakat kita dan sering dirundung masalah.

Sememangnya kehadiran pasar raya amat membimbangkan kepada peruncit kecil-kecilan. Mereka mampu menggugat perniagaan peruncit kecil-kecilan secara halus dan secara tidak langsung memberi saingan serta tekanan kepada mereka. Faktor perubahan yang berlaku ini adalah disebabkan oleh pasar raya atau hypermarket tersebut yang mempunyai sistem pengurusan yang sistematik dan lebih baik dan ini merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan pasaraya atau hypermarket dalam menguasai industri peruncitan tempatan. Sebenarnya kalau peniaga Melayu pada masa sekarang, diberi peluang yang saksama dan hak sama rata oleh kerajaan, mereka mampu bersaing dengan peniaga bukan Melayu. Ini kerana, kebanyakannya pasaraya sekarang adalah majoritinya milik bukan Bumiputera.

Begitu juga dengan faktor kawasan. Kebanyakan pasar raya terletak di kawasan yang strategik dan tempat yang mempunyai komposisi penduduk yang tinggi seperti di kawasan bandar-bandar utama. Manakala peruncit kecil-kecilan hanya mampu mendirikan premis-premis perniagaan mereka di suatu tempat yang jauh dari perbandaran seperti di tepi-tepi jalan. Masalah ini berlaku kerana peruncit kecil-kecilan tidak mampu membayar kadar sewa bangunan di kawasan perbandaran untuk dijadikan premis perniagaan mereka. Ramai juga peniaga-peniaga kecil membina gerai sendiri di tepi-tepi jalan. Lokasi gerai tersebut tidak sesuai untuk kawasan yang kurang penduduk. Seterusnya kawasan yang terlindung dari jalan raya juga menjadi faktor kedai runcit kecil terus terhimpit kerana wujudnya saingan sesama sendiri. Mungkin mereka boleh memilih tempat yang sesuai untuk pembinaan premis mereka di kawasan tumpuan orang ramai seperti di sekitar perhentian bas, teksi, pasar, tempat-tempat hiburan.

Seterusnya, faktor pembelian melalui kad kredit serta kepelbagaian barangan yang lebih luas serta harga yang menarik berbanding peruncit kecil-kecilan juga menjadi faktor mengapa pasar raya benar-benar memusnahkan aktiviti peruncit kecil-kecilan. Kalau kita lihat kepada sektor peruncitan secara kecil-kecilan, mungkin tidak ada sebarang kemudahan ini yang ditawarkan. Mereka mana ada modal untuk menyediakan segala kemudahan yang sebaik ini. Selain itu, pembangunan prasarana serta kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya membantu masyarakat untuk menjalankan pembelian mereka di pusat-pusat membeli belah tersebut. Dengan yang demikian, ini juga turut membantu dalam persaingan sengit di antara perniagaan runcit kecil-kecilan dan pusat-pusat membeli belah besar tersebut.

Pasar raya juga menawarkan pelbagai jenis produk dan barangan di bawah satu bumbung. Berbeza dengan peruncit kecil-kecilan. Peruncit hanya menawarkan produk yang diperlukan oleh masyarakat yang berhampiran dengan premisnya. Kadangkala produk yang menjadi keperluan hidup masyarakat sebelum ini telah kehabisan, jadi mereka terpaksa keluar mencari barangan di pasar raya. Dengan keadaan ini telah menyebabkan masyarakat setempat beralih haluan dengan mengunjungi pasar raya yang terletak dimana-mana.

Secara umumnya, pasar raya mempunyai cara tersendiri dalam menjalankan operasi perniagaan mereka. Populariti mendadak yang dikecapi oleh pasar raya besar telah memberi kesan negatif ke atas peniaga-peniaga kecil. Hal ini disebabkan sistem operasi pasar raya terurus dengan tahap kecekapan yang tinggi disamping penawaran harga yang secara relatifnya terendah dan bermanfaat kepada pelanggan. Dengan berbuat demikian, semestinya para pelanggan beralih tumpuan daripada kedia runcit yang kecil kepada pasar raya yang besar. Tambahan pula, pasar raya mengadakan kad pelanggan. Apabila seseorang mempunyai kad pelanggan, mereka boleh mendapatkan diskaun dengan kadar tertentu dan banyak lagi keistimewaanny ayang tersendiri. Oleh itu, ramai pelanggan terus menerus memilih dan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pasar raya berkenaan dan dengan itulah kesannya kedai runcit kecil terus terpinggir.

Kita tidak boleh menyalahkan seratus peratus kepada pasar raya semata-mata kerana peruncit kecil-kecilan gagal dalam perniagaan mereka. Kemungkinan kegagalan perniagaan tersebut disebabkan oleh ketiadaan kemahiran perniagaan oleh peruncit itu sendiri, kurangnya ilmu pengurusan dan pengalaman perniagaan, tidak bersungguh-sungguh dan tabah dalam menjalankan perniagaan, kurang memahami keseluruhan aktiviti perniagaan, tidak mempunyai rekod atau cacatan terhadap urusniaga, tidak mengemaskini rekod perniagaan, kawalan kewangan yang lemah, perkembangan perniagaan yang terlalu cepat dan tidak selaras dengan keupayaan dan sumber yang ada, kurang jaringan perniagaan dan maklumat berhubung dengan pelanggan dan pasaran, lokasi perniagaan yang tidak sesuai, dan masa yang tidak sesuai untuk memasuki pasaran. Terlalu awal atau terlalu lewat produk yang ditawarkan ke pasaran akan mengundang kerugian, masalah reka bentuk produk. Keadaan ini bboleh mendatangkan masalah dan kesan kepada kualiti dan keselamatan produk dana kesan kepada jualan juga. Sebagaimana kita tahu, hukum jualan, sekiranya reka bentuk sesuatu produk itu tidak menarik, maka dengan sendirinya jualan terhadap produk tersebut tidak akan mendatangkan hasil ddan jualan yang lumayan. trategi pengedaran pelanggan. Peruncit mesti memastikan produknya sampai dengan mudah ke tangan pelanggan. Pada tahap ini, strategi peengedaran mestilah bertepatan dengan segmen pasaran supaya pengedaran produk menjadi lancar, dan terlampau bergantung kepada satu pelanggan utama juga akan menyebabkan peruncit mengabaikan pelanggan lain. Sekiranya pelanggan utama mendapat bencana atau beralih kepada peruncit yang lain, maka peruncit tadi akan menerima kesan yang lebih teruk.

Kedai runcit kecil-kecilan juga kurang kemudahan asas seperti tempat membuang sampah, tempat duduk pelanggan, tandas, kebersihan tandas, dan tempat ibadat (surau). Faktor keselesaan merupakan faktor utama yang mempengaruhi masyarakat membuat pilihan tempat untuk membeli belah di pasar raya. Pasaraya menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti surau, tempat rekreasi, tempat berehat, tempat bersukan, cafe, dan lain-lain lagi. Manakala kedai runcit tidak ada menyediakan kemudahan seperti itu. Dengan keadaan ini, kedai runcit tidak lagi dikunjungi. Begitu juga faktor reka bentuk gerai yang tidak cantik kerana kurangnya ruang untuk membesarkan ruang niaga, terletak terkebelakang dari gerai-gerai lain menyebabkan kurang sambutan pelanggan dan akibatnya pelanggan beralih ke pada pasar raya besar. Begitu juga dengan tiadanya perkhidmatan angkut sampah yang tidak teratur dan kebersihan tandas yang tidak dijaga. Keadaan ini tidak akan menarik perhatian pelanggan kerana setiap pelanggan mementingkan keselesaan dan kebersihan. Itulah fitrah kita sebagai manusia yang tidak suka kepada kekotoran. Peruncit juga tidak mempunyai organisasi atau pengurusan yang tidak sempurna, kurang pengalaman dan pengetahuan perniagaan, gagal mendapatkan pembantu, kekurangan modal, serta kurang mendapat latihan daripada agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan (JKBS), institusi kewangan, Pusat Daya Pengeluaran Negara (PDPN), KEMAS, dan Pusat Latihan Orang-orang Cacat.

Mereka juga tidak menjadi ahli koperasi atau persatuan. Menjadi ahli dan terlibat secara aktif dalam persatuan perniagaan sangat menguntungkan kerana ianya menjaminkan keselesaan dan kecemerlangan peniaga itu sendiri. Walaubagaimanapun, ramai peniaga yang diluar sana tidak memasuki mana-mana persatuan kerana mungkin faktor tidak faham cara hendak memohon menjadi ahli, tidak tahu adanya persatuan atau koperasi, dan tidak yakin persatuan atau koperasi dapat menolong mengatasi masalah peniaga. Tujuan penubuhan persatuan atau koperasi adalah semata-mata untuk menolong peniaga-peniaga meninggikan taraf hidup, mengatasi kesulitan-kesulitan peniaga mengenai modal, bahan bekalan, pasaran, usaha mendapatkan tapak-tapak perniagaan dan kebajikan. Manakala setiap pengurus pasar raya terlibat secara aktif dengan persatuan-persatuan mereka, samada persatuan di dalam negara mahupun luar negara. Mereka mempunyai hubungan yang kukuh antara satu sama lain. Dalam keadaan sedemikian, maka pasar raya terus kukuh mengcengkam dan terus memberi tekanan kepada perniaga kecil-kecilan yang lemah dan tidak mempunyai sebarang keistimewaan seperti pengurus pasar raya.

Masalah kekangan peruncit kecil termasuklah kekurangan modal, mesin dan peralatan, jaringan perniagaan, masalah simpan kira, pasaran, tenaga kerja, bahan mentah, kepakaran teknikal, dan pengurusan am. Kebanyakan modal peniaga berasal dari simpanan sendiri, modal pinjaman dari agensi-agensi kerajaan (MARA, dan Jabatan Kebudayaan) modal daripada saudara mara, rakan dan pajak gadai. Kekangan perniagaan juga mungkin disebabkan oleh pendapatan yang tidak menentu, risiko tehadap modal yang dilaburkan, jangka masa kerja yang panjang dan kerja dengan kuat, suasana hidup yang tidak teratur terutama pada peringkat awal perniagaan, tanggungjawab keseluruhan terhadap perniagaan, risiko minda dan psikologi dan risiko sosial. Peruncit kecil juga kurang mendapatkan bekalan perniagaan mereka kerana mereka mempunyai satu pembekal sahaja dan kadang-kadang pembekal mereka itu tidak tetap. Sebab utama peniaga memerlukan bantuan daripada kerajaan ialah untuk meluaskan perniagaan asal, diberi kemudahan modal oleh agensi kerajaan, perniagaan asal gagal atau tidak menguntungkan, menyambut seruan kerajaan, lokasi perniagaan asal tidak sesuai, mempelbagaikan bahan jualan, memulakan perniagaan, permintaan yang menggalakkan, mendapat persaingan di tempat asal.

Sebagai kesimpulannya, kehadiran pasar raya benar-benar memusnahkan proses perniagaan runcit kecil-kecilan. Oleh yang demikian, adalah disyorkan supaya kerajaan memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada peniaga kecil-kecilan, peniaga kecil hendaklah diselaraskan dan diperkemaskan, mengadakan dan memperbaiki kemudahan asas di kawasan perniagaan, lokasi mesti strategik, memperbesarkan dan mencantikkan gerai, memberi kursus, mengelakkan dasar pilih kasih didalam pemberian bantuan, sewa gerai dan faedah pinjaman hendaklah dikurangkan, mengambil tindakan terhadap peniaga haram (tiada lesen perniagaan), agensi kerajaan tidak mengambil berat masalah peniaga, dan pinjaman yang dibuat mestilah tanpa cagaran. Semua keadaan ini adalah semata-mata untuk meneruskan perniagaan runcit kecil-kecilan agar tidak terus terabai dan memandangakan perniagaan runcit kecila-kecilan berada di dalam kelasnya yang tersendiri.
RUJUKAN

Abu Bakar Hamed, 2005, Keusahawanan dan Pengurusan Perniagaan Kecil, Penerbit Univesiti Utara Malaysia Sintok,

Abu Bakar Hamed, Keusahawanan dan Pengurusan Perniagaan Kecil, 2005, Penerbit Univesiti Utara Malaysia Sintok,

Yusnidah Ibrahim, Faudziah Zainal Abidin, Angappan Regupathi, 2005, Isu-isu Kewangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Penerbit Universiti Utara Malaysia Sintok.

Rosli Mahmood, Syahrina Abdullah, Azrain Nasyrah Mustapa, 2007, Prinsip-prinsip Asas Keusahawanan, Thomson Learning.

Zainab Ahmad, Norsidah Ahmad dan Farok Zakaria, 2002, Asas Peruncitan, Prentice Hall, Petaling Jaya.

Jones K. and Simmons J, 1990, The Retail Environment, Routledge, London.

Evan B. and Evans J. R, 2001, Retail Management : A Strategic Approach 8th Edition, Prentice Hall, New Jersey


Rancangan Malaysia ke Sembilan 2006-2010, Retrieved March, 2008, from
http://www.mara.gov.my/BPK/rmk9/Bab9.pdf

Admin

84 Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama