KONSEP PERNIAGAAN

Perniagaan bermaksud aktiviti menjual dan membeli barangan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Manakala peniaga pula ialah orang yang menjalankan aktiviti penjualan barangan atau perkhidmatan kepada pengguna. Perlu diingatkan bahawa seseorang peniaga adalah bukan usahawan, kerana seseorang usahawan bermotifkan kebajikan sosial dan berbeza dengan seorang peruncit, kerana peruncit bermotifkan keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga mereka semat-mata. Faktor-faktor yang mendorong seseorang itu untuk berniaga ialah antaranya disebabkan oleh cita-cita mereka untuk menjadi orang kaya, untuk menyara hidup seharian mereka, mendapat galakan daripada keluarga, untuk menambahkan pendapatan sampingan, di dorong oleh berita atau pengalaman orang lain mengenai keuntungan menjalankan perniagaan dan akhir sekali adalah untuk berdikari.

Konsep dan kepentingan perniagaan terlalu kompleks. Kemunculan amalan perniagaan adalah kerana kehendak manusia itu sendiri yang tidak terbatas dan berbeza, sedangkan kemampuan setiap individu atau masyarakat adalah terhad. Manusia memerlukan tiga keperluan asas yang utama untuk hidup, iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Keperluan lain pula merujuk kepada perubatan, pendidikan dan kewangan. Manakala yang satu lagi kita sebut sebagai kehendak. Kehendak ialah keinginan manusia untuk hidup lebih selesa dan bermegah-megah atau dengan kata lain, ianya sebagai nilai tambahan kepada keperluan. Perniagaan menjadi penting kepada manusia kerana manusia dapat memenuhi keperluan dan kehendak, manusia dapat membaiki taraf hidup dan memiliki hidup yang lebih selesa, peluang untuk mendapatkan perkerjaan, dan manusia itu dapat mengeratkan hubungan antara kaum, bangsa dan negara.

Islam mengiktiraf fitrah manusia daalam keperluan mencari harta. Maksud hadith Rasulullah SAW, “jika kamu meninggalkan keluarga kamu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia”. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa sembilan puluh peratus sumber rezeki adalah dari bidang perniagaan. Islam menyokong berjual-beli. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith yang berkait dengannya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:275 yang bermaksud, “dan Allah SWT menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba”. Dalam surah yang sama juga iaitu pada ayat 282, Allah berfirman pula yang bermaksud, “persaksikanlah jika kamu berjual beli”. Banyak juga hadith Rasulullah SAW yang berkait dengan perniagaan, diantaranya ialah “peniaga yang jujur dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama dengan para Nabi, orang-orang salih dan para syuhada”. Baginda SAW pernah ditanya, “apakah jenis mata pencarian yang paing baik?” maka baginda menjawab, “hasil usaha sendiri, dan setiap perniagaan yang bersih dari tipu daya dan khianat”. Prinsip perniagaan Islam merangkumi beberapa elemen, iaitu bebas, urusniaga tanpa riba, adil, layanan yang baik, hak memiliki harta, edaran kekayaan yang meluas, pengharaman institusi anti-sosial, persaudaraan sesama umat, pengharaman pengumpulan harta yang tidak menentu, melindungi hak-hak penjual dan pembeli, jujur dan amanah, rajin dan tekun, dan membuat kebajikan sesama manusia.

Memperkatakan tentang jenis perniagaan pula, ia berdasarkan kepada dua jenis yang utama iaitu perniagaan tempatan dan perniagaan antarabangsa. Perniagaan tempatan mengandungi dua elemen utama iaitu perniagaan runcit dan perniagaan borong. Perniagaan runcit ialah perniagaan yang menjalankan urusniaga menjual kepada pengguna terakhir dalam kuantiti yang sedikit. Manakala perniagaan borong ialah perniagaan yang menjalankan urusniaga menjual kepada peruncit dan pengguna dalam kuantiti yang banyak. Memperkatakan tentang kategori-kategori peruncitan pula, ia mengandungi dua kategori sahaja iaitu runcit secara kecil-kecilan dan runcit besar-besaran. Manakala perniagaan borong pula terdiri daripada pemborong am yang membeli secara borong pelbagai jenis barang runcit, pemborong pertanian yang membeli secara borong hasil-hasil pertanian, pemborong agen yang membeli secara borong keluaran syarikat tertentu seperti Nestle, dan akhir sekali, pemborong kilang yang membeli secara borong barangan keluaran kilang seperti perabot, alatan elektrik dan pakaian. Peruncit kecil-kecilan terdiri daripada peruncit perseorangan atau penjaja, peruncit rangkaian stor, dan peruncit gedung perniagaan. Manakala peruncit besar-besaran terdiri daripada peruncit pasaraya atau hypermarket, peruncit gedung khusus, peruncit francais, peruncit ruang yang dipajak, peruncit koperasi pengguna, dan peruncit cara baru.

Secara ringkasnya, peruncit kecil-kecilan terdiri daripada peruncit perseorangan yang merujuk kepada seseorang peruncit yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan operasi yang terhad dan dimiliki oleh orang perseorangan ataupun berkongsi dengan rakan-rakan atau ahli keluarga mereka sendiri. Peruncit rangkaian stor pula dimiliki dan diuruskan oleh satu badan pusat. Aktiviti penjualan barangan yang sama, susun atur, rupa bentuk dalaman dan luaran dan perkhidmatan yang sama. pengurusan promosi, pembelian dan keputusan dilakukan pada peringkat pusat. Peniaga ini boleh juga dikatakan sebagai peniaga yang bergerak dari rumah ke satu rumah atau dari satu tempat ke suatu tempat. Contohnya penjual aiskrim, penjual ikan dan sayur. Peruncit gedung perniagaan pula merujuk kepada sebuah perniagaan yang besar yang menawarkan barangan dalam satu kategori. Peruncit jenis ini membentuk tiga jenis pula iaitu convenience store, shopping store, dan specialty store. Secara ringkasnya, convenience store merujuk kepada suatu tempat yang senang dan biasa untuk membeli belah. Boleh jadi di tepi-tepi jalan, di bandar-bandar, dan sebagainya. Manakala shopping store merujuk kepada kesanggupan peniaga untuk menarik pelanggan yang jauh kerana gudangnya mempunyai produk campuran secara luas dan panjang (width and length). Peruncit speciality store atau gedung khusus pula menawarkan pelbagai jenis barangan tetapi jenama dan bilangan yang terhad, memberi penekanan dan keperluan pelanggan yang khusus. Specialty store juga ialah gudang yang telah kukuh dalam menarik perhatian pelanggan terutamanya dari segi jenamanya yang sudah terpahat dalam pasaran. Sebagai contoh, syarikat Singer dan jam tangan Rolex.

Didalam perniagaan peruncit besar-besaran pula terdiri daripada peruncit pasaraya atau hypermarket yang merujuk kepada sebuah perniagaan yang besar dan sederhana yang menawarkan pelbagai jenis barangan dalam pelbagai kategori. Pasar raya boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu pasar raya kecil, pasar raya sederhana dan pasar raya besar. Pasar raya kecil merupakan sebuah pasar raya yang keluasannya dalam lingkungan 30,000 hingga 50,000 kaki persegi. Pasar raya sederhana pula merupakan sebuah pasar raya yang mempunyai keluasan antara 50,000 hingga 80,000 kaki persegi. Manakala pasar raya yang mempunyai keluasan melebihi 80,000 kaki persegi pula dikategorikan sebagai pasar raya besar atau dengan nama yang paling popular ialah hypermarket.

Peruncit francais ialah perniagaan runcit yang melibatkan perjanjian kontrak antara satu perniagaan dengan peniaga syarikat utama. Pemegang francais dinamakan 'francaisor', manakala pembeli francais disebut dengan nama 'francaisi'. Peruncit ruang yang dipajak merujuk perniagaan runcit yang berlaku dalam sebuah gedung perniagaan atau pasaraya yang besar. Penyewa-penyewa ini dikenali sebagai 'concessionaire' yang mempunyai barangan berjenama. Peruncit koperasi pengguna menjalankan perniagaan yang mana pengguna berkenaan merupakan pemegang-pemegang saham yang terbesar. Peruncitan jenis ini dimiliki oleh ahli-ahli untuk kepentingan mereka sendiri. Yang akhir sekali ialah peruncitan cara baru iaitu melibatkan aktiviti peruncitan melalui tempahan secara pos (mail order), peruncitan melalui telefon, peruncitan atas-talian (internet retailing), peruncitan tele-marketing, mesin-mesin vending, katalog shop (ruang pameran katalog), dan jualan langsung atau jualan peribadi.

Manakala perniagaan antarabangsa pula terdiri daripada tiga kategori iaitu import, eksport, dan entreport. Import merujuk kepada urusniaga yang membeli barangan luar negara dan dijual pula dalam negara. Sebagai contoh, Malaysia mengimport buah-buahan, bijirin dan daging lembu dari negara luar. Manakala eksport ialah urusniaga yang membeli barangan dalam negara dan dijual pula ke luar negara. Contohnya, Malaysia mengeksport barangan elektronik, minyak kelapa dan kayu balak kepada negara luar. Entreport pula ialah urusniaga yang menjalankan perniagaan import dan eksport. Sebagai contoh, Malaysia mengeksport minyak mentah dan mengimport minyak yang telah diproses atau ditapis ke luar negara.

Untuk menjadi seorang peruncit yang berjaya dalam perniagaannya, seseorang itu mesti mempunyai beberapa ciri-ciri yang patut ada dalam dirinya ialah mesti mempunyai inisiatif yang kuat, motivasi atau desakan daripada diri sendiri dan pertimbangan keluarga, mengharapkan mendapat pulangan daripada perniagaan, mampu dan berupaya bertindak secara cepat dan rasional, mempunyai dedikasi dalam perniagaan yang diceburi, pandai mencari dan mengambil peluang. Begitu juga dengan sikap disiplin, bertenaga, kerja kuat, bersemangat, dedikasi, tabah, berkeyakinan, bertanggungjawab, kreatif, amanah, dan berfikiran terbuka patut ada dalam diri mereka. Sikap berani, bebas, kesungguhan, keazaman, berpandangan jauh, praktikal, sabar, syukur, cekap, tegas, inisiatif, tidak beremosional, dinamik, berwawasan, tidak putus asa, jujur, tolak ansur, kesihatan yang konsisten, bijaksana, ketahanan mental yang mantap, proaktif, bertimbang rasa, dan mesra dengan semua orang adalah penting kepada seseorang peniaga atau peruncit.

Admin

2 Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama