DEFINISI SEBENAR PEMBANGUNAN

Apakah yang dimaksudkan dengan pembangunan? Mungkin pelbagai takrifan yang akan diberikan masyarakat. Pembangunan juga akan memberi pengertian yang berbeza mengikut taraf hidup dan status masyarakat. Dalam masa yang sama pembangunan berbeza bergantung kepada lokasi atau tempat bermastautin masyarakat tersebut.

Masyarakat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Kota Bharu akan memberi maksud yang berbeza. Berdasarkan Kamus Oxford ‘pembangunan’ bermaksud keadaan negara, masyarakat atau suatu lokasi yang mempunyai banyak industri dengan sistem ekonomi yang rencam. Tidak hairanlah, apabila ditanya mengenai pembangunan, ramai yang berpendapat pembangunan bermaksud; bangunan yang banyak, kemudahan awam yang mencukupi dan peningkatan aktiviti ekonomi dalam masyarakat.

Hakikatnya, pembangunan sebenar ialah lebih daripada fizikal yang dapat dilihat dengan mata kasar tetapi meliputi aspek rohani dan minda yang dapat menjana perubahan. Bangunan pencakar langit ialah pembangunan kepada seseorang, di sebaliknya juga adalah suatu kerosakan kepada seseorang yang lain! Oleh itu, pembangunan yang sebenar merujuk kepada pembangunan keupayaan minda manusia.

Walaupun seseorang itu mempunyai keupayaan intelek yang tinggi, tetapi tanpa nilai kemanusiaan yang mulia, segala bentuk pembangunan yang dilaksanakan akan menjejaskan kesejahteraan manusia. Bandar yang dirancang tanpa sentuhan kemanusiaan tidak lebih daripada hutan batu yang menyusahkan! Inilah yang dikatakan modal insan kelas pertama, modal insan yang dapat menjana pembangunan melalui penjanaan perubahan yang mempunyai nilai yang tinggi.

Kelantan merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber manusia, sumber asli dengan bumi yang subur, yang memungkinkan kekayaan dapat dijana untuk kesejahteraan rakyat. Keupayaan untuk menterjemahkan segala yang ada di bumi memerlukan sumber manusia termasuk pemimpin yang berilmu, bijaksana, kreatif dan inovatif dengan kemahiran yang tinggi.

Keupayaan manusia dengan nilai intelek yang tinggi digembleng untuk mencari peluang bagi menterjemahkan kekayaan bumi negeri ini kepada perubahan yang menjanakan ekonomi tanpa menjejaskan keindahan yang sedia ada di Kelantan. Kekayaan daripada sungai, lautan, hutan, bukit dan kekayaan lain pada permukaan dan perut buminya, dibangunkan dengan lestari menggunakan ilmu pengetahuan dan teknologi terkini.

Sebagai contoh, segala kekayaan bumi ini boleh ditukar menjadi sumber makanan melalui ilmu pertanian moden, di samping menjadi asas dalam pewujudan industri lain berasaskan pertanian dan sumber asli. Terdapat keindahan semula jadi yang boleh dijadikan tapak berpotensi dalam industri pelancongan. Semua ini terlaksana tetapi bumi kekal sejahtera.

Institusi pengajian tinggi, seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempunyai peranan yang besar untuk menyediakan, menyampaikan dan berkongsi segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memastikan kekayaan bumi anugerah Allah tidak disia-siakan atau dibiarkan tanpa dimanfaatkan.

Kalaupun kekayaan bumi digunakan, ia seharusnya tidak menyebabkan kerosakan kepada persekitarannya atau mengurangkan nilai sumber kekayaan itu. Untuk itu, kaedah penggunaan dan pengeksploitasian sumber asli dari bumi harus dilakukan dengan bijak berasaskan ilmu pengetahuan yang mantap.

Seseorang ilmuwan yang berhemah harus memahami tanggung jawabnya sebagai khalifah Allah yang mempunyai tanggung jawab besar untuk menjaga bumi dan segala anugerah Allah yang lain. Di sinilah nilai kemanusiaan, akhlak yang mulia serta kemahiran insaniah perlu digabungkan dengan ilmu pengetahuan bagi memastikan, manusia memperoleh manfaat yang optimum daripada kekayaan bumi tanpa merosakkan bumi ini.

Sejarah telah membuktikan bahawa bencana dan bala serta ujian Allah melanda akibat perbuatan rakus manusia yang mengabaikan peranan utamanya dalam menjaga keharmonian bumi ini.

Inilah konsep pembangunan yang ingin diketengahkan. Manusia berilmu yang diperkaya dengan nilai kemanusiaan tinggi akan menjamin segala perancangan pembangunan fizikal akan dilakukan setelah mengambil kira kesan ke atas kesejahteraan bumi ini. Menghasilkan sumber manusia yang seimbang ini menjadi matlamat UMK yang menekankan kepada keupayaan intelek yang tinggi serta dilengkapi dengan nilai kemanusiaan bermutu. Sumber manusia ini diharapkan membawa perubahan, perubahan yang akan menyejahterakan manusia yang lain dari satu generasi kepada generasi yang lain.

DIPETIK DARIPADA SINAR HARIAN (12 MAY 2008)
1 Komentar untuk "DEFINISI SEBENAR PEMBANGUNAN"

terima kasih atas isi...saya minta izin ambil maklumat berkenaan pembangunan.

 
Copyright © 2014 Pembawa Berita Gembira - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info