Menurut perspektif Islam, perkataan etika adalah sinonim dengan akhlak. Perkataan “akhlak” berasal dari bahasa Arab iaitu bentuk jamak kepada perkataan "khuluq" yang bererti sifat semula jadi, tabiat, maruah, agama atau gambaran batin seseorang.
Manakala menurut istilah pula, akhlak adalah keadaan kejiwaan yang akan membentuk tingkah laku manusia (Mohd. Nasir, 1986).
Manakala Miqdad Yaljin (1973) telah meringkaskan konsep akhlak kepada tiga aspek, iaitu:
a) Sifat semula jadi yang dimiliki oleh seseorang secara fitrah.
b) Sifat yang dimiliki oleh seseorang melalui latihan atau sebagainya yang akhirnya diterima sebagai adat atau tabiat
c) Akhlak meliputi dua dimensi, iaitu batin merujuk kepada kejiwaan dan zahir merujuk kepada kelakuan.
Konsep akhlak menurut Ibnu Maskawaih merujuk kepada keadaan jiwa yang menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa pertimbangan fikiran (terlebih dahulu). Keadaan jiwa seseorang itu pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:
Keadaan natural (tabii) iaitu sifat semula jadi manusia seperti perasaan cepat marah, cepat berputus asa dan sebagainya.
Keadaan yang dibentuk melalui latihan dan kebiasaan. Keadaan ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu
(1) peringkat pertimbangan dan pemikiran yang teliti, dan
(2) peringkat mengamalkan kebaikan sehingga menjadi kebiasaan dalam kehidupan seseorang.
Manakala menurut Al-Ghazali pula, akhlak adalah: “Akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinya terbentuk perbuatan dengan mudah, dengan tidak berkehendakkan pertimbangan fikiran terlebih dahulu”.
Menurut Ahmad Amin (1969), akhlak adalah sifat batiniah (kejiwaan) bukan lahiriah (luaran). Adapun perbuatan lahiriah dinamakan kelakuan, dimana ia merupakan gambaran dan bukti adanya sifat kejiwaan atau akhlak.
Manakala Mohd. Nasir (1986) pula mendefinisikan akhlak sebagai sains yang menekankan jiwa seseorang sebagai daya penggerak kepada wujudnya sesuatu perbuatan, dan perbuatan itu sendiri perlu dilakukan dengan motif yang baik, berterusan dan bukan disebabkan oleh desakan atau dorongan emosi.

























