KISAH RUH DENGAN MALAIKAT MAUT

Disebut dalam sebuah hadis bahawa apabila Allah SWT mengkehendaki seseorang mukmin itu dicabut nyawanya, maka akan datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut ruh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: “Tidak ada jalan bagimu mencabut ruh orang ini melalui jalan ini, kerana orang mukmin ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SWT.”


Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah SWT dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai malaikat mau, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain”


Sebaik sahaja malaikat maut mendapat perintah Allah SWT, maka malaikat maut pun cuba mencabut ruh orang mukmin itu dari arah tangan, tetapi keluarlah sedekah dari tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluarlah penulisan ilmu maka berkata tangan : “Tidaklah ada jalan bagimu untuk mencabut ruh orang mukmin ini dari arah in, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini juga menulis ilmu pengetahuan.


Oleh kerana malaikat maut gagal lagi untuk mencabut ruh orang mukmin itu dari arah tangan, maka malaikat maut mencuba pula dari arah kaki, malangnya malaikat maut juga gagal melakukannya sebab kaki berkata: “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu.”

Apabila malaikat maut gagal mencabut dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga, sebaik sahaja malaikat maut menghampiri telinga, maka telinga pun berkata: “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini, kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Qur’an dan Zikir”.

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut ruh orang mukmin itu dari arah mata, tetapi baru sahaja beliau hendak menghampiri mata, maka mata pun berkata: “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini, sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitb-kitab”

Apabila malaikat maut gagal menjalankan perintahnya, maka dia pun kembali kepada Allah SWT dan memberitahu masalah yang dihadapinya walaupun semua cara telah dilakukan.

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai malaikatKu, tulislah AsmaKu1 di telapak tanganmu dan tunjukkanlah kepada ruh orang yang beriman itu.”

Sebaik sahaja mendapat perintah Allah SWT, maka malaikat maut pun pergi menghampiri ruh orang itu dan menunjukkan Asma Allah SWT, sebaik sahaja ruh melihat Asma Allah, (terbitlah rasa) kecintaannya kepada Allah SWT, maka keluarlah ruh tersebut dari arah mulut dengan tenang dan damai.

Petunjuk

1 Asma Allah SWT yang rahsia – mengikut pendapat ilmuwan

Dipetik dan disesuaikan kembali dari :

“Himpunan Kisah-Kisah Teladan” – Sidang NURULHAS.

Admin

Catat Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama