Solat Istikharah jadi pedoman orang mukmin

Pensyarah di Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Zahazan Mohamed menjelaskan istikharah yang membawa maksud ‘meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan’ merupakan senjata orang yang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat.

Yang pasti urusan itu tidak sahaja yang melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat itu memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

“Rasulullah s.a.w. telah mensyariatkan umatnya agar mereka memohon pengetahuan Allah dalam segala urusan yang mereka alami dalam kehidupan, sama ada yang kecil mahupun besar, agar beroleh kebaikan. Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah berupa meramalkan masa depan dengan berpandukan kepada berhala dan syaitan.

“Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari mengatakan solat ini mencakupi urusan-urusan besar atau kecil. Banyak masalah yang kita sangkakan kecil akhirnya berkembang menjadi masalah yang lebih besar,” kata Zahazan yang juga giat menulis buku dengan penerbitan Telaga Biru.

Secara umumnya, kata Zahazan, pensyariatan ibadat ini adalah untuk menunjukkan kepada umat Islam kaedah memohon pertolongan Allah agar diberi taufik dan hidayah dalam membuat keputusan. Seperti mana banyak dijelaskan, ibadah ini diajar oleh Nabi sebagai jalan keluar daripada pergantungan kepada syaitan dalam amalan penujuman dan perbomohan yang menyebabkan penipuan dan penganiayaan terhadap hak sesama manusia.

Ini bagi mengelakkan golongan tersebut mengambil kesempatan atas kejahilan manusia bahawa kononnya mereka mengetahui masa depan. Sebaliknya, Allah menjelaskan dalam al-Quran, ... kalaulah aku (Nabi Muhammad) mengetahui hal yang ghaib (akan berlaku), tentu aku akan berbuat kebaikan dengan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa sebarang kemudaratan.” (al-A’raf: 188)

Ayat ini menerangkan tentang peringatan Allah kepada kita bahawa Nabi s.a.w. yang menerima wahyu daripada-Nya juga tidak mengetahui apakah yang akan berlaku, inikan pula kita. Lantaran itu, memohon kepada Allah agar beroleh reda-Nya merupakan petanda ketakwaan dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Ini merupakan manifestasi keimanan yang mutlak kepada-Nya. Hal ini disebutkan dalam hadis pada bab Muraqabatullah dalam Kitab Riyadhus Solihin, Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: Apabila kamu meminta pertolongan mintalah kepada Allah. (Riwayat Tirmizi)

Terdapat juga sebuah athar yang bermaksud: “Tidak akan kecewa orang yang melakukan istikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat dengan orang lain.”

Menurutnya lagi, dalam hadis daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. mengajarkan istikharah kepada kami dalam segala urusan sebagaimana Baginda mengajar kami sesuatu surah daripada al-Quran. Sabda Baginda: Jika salah seorang daripada kamu berkeinginan untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat di luar solat wajib. (Riwayat Bukhari)

Malah, menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya.

Al-Zamlakani pula mengatakan: “Jika seseorang mengerjakan solat istikharah dua rakaat untuk sesuatu hal, maka hendaklah dia setelah itu melakukan perkara yang kelihatan baginya sama ada dia berasa senang ataupun tidak, kerana kebaikan itu berada dalam jiwanya sekalipun jiwanya tidak menyenanginya.”

Selain itu, kata Zahazan, tiada satu keterangan daripada hadis yang menjelaskan bahawa seseorang itu akan diilhamkan dengan perasaan senang hati atau sebagainya.

“Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan seseorang yang bersolat sunat ini akan memperoleh petanda tertentu melalui mimpi atau sebagainya. Namun begitu jika berlaku petunjuk seperti itu ia merupakan nikmat Allah.

“Hadis di atas bermaksud urusan yang dilakukan itu akan dipermudahkan oleh Allah dan diberikan keberkatan. Atau dalam keadaan lain, Allah akan memberikannya sesuatu kebaikan yang lain. Malahan dia akan sentiasa mendapat kebaikan dalam semua urusannya,” katanya.

Nasihat Zahazan, jadikanlah solat sunat ini sebagai satu ibadah yang dilakukan ikhlas kerana-Nya. Ambillah kesempatan untuk bermesyuarat dengan sahabat-sahabat yang soleh kerana Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat ke 159 bermaksud: dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Batas waktu

Solat Istikharah adalah solat yang dilakukan di luar solat wajib tanpa dibataskan waktu-waktu yang tertentu. Jadi ia boleh diamalkan pada bila-bila masa. Al-Imam al-Nawawi menyatakan dalam al-Azkar, solat ini boleh dikerjakan dengan dua rakaat sunat rawatib, tahiyatul masjid dan solat-solat sunat yang lain. Walau bagaimanapun melihat kepada susunan oleh al-Bukhari, beliau cenderung ke arah menggalakkan ibadat ini dikerjakan pada waktu malam, kerana lazimnya istikharah dilakukan sebagai usaha mendapat pimpinan Allah.

Justeru, waktu malam merupakan pilihan yang tepat memandangkan kepada sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari bermaksud: Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata: Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk-Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk-Ku berikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk-Ku ampunkan?

Berdasarkan hadis di atas, jelas kepada kita bahawa solat ini dikerjakan secara bersendirian di luar waktu solat fardu. Walaupun tiada keterangan yang khusus menunjukkan kepentingannya untuk dilakukan bersama dengan solat hajat dan tahajjud, tetapi lazimnya waktu bertahajjud merupakan waktu yang baik untuk bermunajat kepada Allah.

Doa

Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon petunjuk-Mu untuk membuat pilihan yang tepat dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk mendapat penyelesaian ) dengan kekuasaan-Mu, aku memohon daripada anugerah-Mu yang Maha Agung, sesungguhnya Engkau maha berkuasa, sedangkan aku tidak, Engkau maha mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau maha mengetahui perkara yang ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini ... (disebutkan hajatnya ) baik untukku dalam urusan agamaku, hidupku dan kesudahanku, maka mudahkanlah bagiku dalam urusan itu, kemudian kurniakanlah berkat kepadaku. Akan tetapi bila Engkau mengetahui bahawa persoalan itu lebih bahaya kepadaku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahanku, maka elakkanlah aku daripadanya, kemudian takdirkan bagiku segala perkara yang baik di mana saja dan jadikanlah aku orang yang reda dengan ketetapan tersebut.

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menganjurkan agar seseorang yang mempunyai hajat itu menyebutkan hajatnya di pertengahan doa agar diberi petunjuk oleh Allah s.w.t..

Bacaan surah

Sebenarnya tiada suatu dalil pun yang menetapkan bacaan surah tertentu mengiringi al-Fatihah. Walau bagaimanapun, al-Imam al-Nawawi menerusi kitabnya al-Azkar mencadangkan agar membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama selepas al-Fatihah dan al-Ikhlas pada rakaat kedua selepas al-Fatihah. Kenyataan ini disokong oleh al-Iraqi dalam Syarah al-Azkar oleh Ibn Allan, Wallahu A'lam.

0 Komentar untuk "Solat Istikharah jadi pedoman orang mukmin"
 
Copyright © 2014 Pembawa Berita Gembira - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info