KISAH AYAT SERIBU DINAR



KETERANGAN
Ada seorang hartawan bermimpi dalam tidurnya, seorang lelaki telah datang kepadanya lalu berkata : “beramallah kamu dengan hartamu sebanyak 1000 dinar kepada fakir miskin yang banyak berkeliaran meminta-minta”.
Kerana mimpi tersebut berulang kali mengganggu tidurnya, maka dilaksanakan juga apa yang disuruh oleh lelaki di dalam mimpinya itu, iaitu memberi sedekah kepada fakir miskin sebanyak 1000 dinar. Pada suatu malam, dia bermimpi lagi bahawa lelaki itu datang kepadanya dan mengajarkannya beberapa kalimah ayat Quran (ayat seribu dinar) dianjurkannya agar dibaca dan diamalkan pada setiap waktu pagi dan petang. Maka tuhan akan melepaskan dari bahaya yang akan menimpa diri.
Setelah hartawan itu bangun daripada tidurnya, beliau memikirkan dengan penuh perhatian apa yang dia perolehi daripada mimpinya tadi. Dalam mimpinya itu, beliau berasa seolah-olah ada hubungan dengan mimpi yang terdahulu. Maka dengan tidak ragu-ragu, di bacanya dan di amalkannya, kerana kalimah-kalimah itu adalah ayat Quran yang tidak diraguinya lagi akan kebaikannya.
Tidak lama kemudian, hartawan tersebut telah bermusafir dengan sebuah kapal layar untuk berdagang. Ketika beliau berada dalam satu perjalanan melalui laut dan kapal berkenaan berada di tengah-tengah laut yang luas, maka bertiuplah angin taufan yang dahsyat, ombak semakin besar, dan kapal menjadi tidak tentu arah serta terumbang-ambing. Semua penumpang berasa cemas dan takut. Hari mulai malam, gelap, dan hujan turun dengan lebatnya. Tapi si hartawan tersebut tetap tenang mengharapkan pertolongan tuhan sambil membaca ayat-ayat yang didapatinya daripada mimpi.
Nakhoda dan awak-awak kapal berusaha dengan sekuat tenaga untuk menyelamatkan kapal dan penumpangnya, tetapi keadaan semakin bertambah buruk. Kapal terhempas di atas sebuah batu dan akhirnya kapal terbelah dua dan pecah. Disaat penumpang tidak sedar kerana mabuk, maka kapal berkenaan telah dipenuhi air dan tidak dapat diselamatkan lagi. Tapi anehnya si hartawan tersebut yang mengamalkan ayat-ayat tadi telah terdampar di tepi pantai dalam keadaan selamat bersama harta perdagangannya.
Demikianlah khasiat ayat yang diperolehinya dalam mimpi, kerana dia telah beramal sebanyak 1000 dinar. Lalu ayat-ayat itu dikenali dengan ayat seribu dinar.

Admin

Catat Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama