LARANGAN GHARAR ATAU PENIPUAN




Hadis yang pertama: ( contoh jual beli secara lemparan dadu ) Terjemahan hadis: Dari Abu Hurairah r.a : bahawa Nabi SAW melarang jual beli dengan lemparan batu dan jual beli barang secara gharar. ( Hadis riwayat Jama’ah kecuali Bukhari ) 

Keterangan dari hadis: Hadis di atas menerangkan bahawa jual beli dengan lemparan batu dan jual beli secara gharar adalah dilarang oleh Nabi Muhammad SAW dan haram ke atas umat Islam berjual beli dengan cara ini. Iaitu segala bentuk jual beli yang di dalamnya terkandung jahalah (unsur ketidakjelasan), atau di dalamnya terdapat unsur taruhan atau judi. 

Sehubungan itu, ulama menjelaskan gharar dalam salah satu daripada tiga sebab berikut : 
• Tiada barang yang dijual beli ( akad jual beli tanpa barang ); 
• Ada barang tetapi tidak boleh diserahkan kepada pembeli; dan 
• Ada barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat ditentukan atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya, banyaknya atau lain-lain. 

Begitu juga dengan mana-mana perjanjian yang terlalu berat sebelah sehingga boleh membawa kepada kerugian kepada satu pihak yang berjanji, maka perjanjian itu juga dikira mengandungi unsur gharar yang diharamkan itu. Sistem Islam dalam urusniaga amat mengambil berat akan hal ini, agar kedua-dua pihak tidak dizalimi atau terzalim. 

Kerana itu Islam mensyaratkan beberapa syarat sah urusniaga jual beli, tanpanya jual beli dan kontrak menjadi rosak, antara syaratnya ialah : 

1) Timbangan yang diketahui dengan jelas. 
2) Barang dan harga yang jelas dan dimaklumi ( tidak boleh harga yang dijahili ketika beli ). 
3) Penjualan barangan tidak dihadkan kepada tempoh tertentu masa yang jelas. 
4) Mempunyai tempoh tangguh yang dimaklumi (samada tempoh serah barang mahupun harga), iaitu kiranya melibatkan urusniaga jualan tangguh. 
5) Redha kedua-dua pihak dengan urusniaga yang dijalankan. 
6) Sama nilai dan timbangan serta penyerahan di dalam majlis yang sama tanpa tangguh dalam urusniaga item ribawi. 

Martabat hadis: Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ini merupakan hadis sahih. Hadis yang kedua: ( contoh jual beli ikan dalam air ) 

Terjemahan hadis: Dari Ibnu Mas’ud , bahawa Nabi SAW bersabda: ” Janganlah kamu membeli ikan di dalam air kerana sesungguhnya jual beli yang demikian itu mengandungi gharar”. ( Hadis riwayat Ahmad bin Hambal dari Ibnu Mas’ud ) 

Keterangan dari hadis: Gharar memberi erti tidak jelas, kabur dan terdapat penipuan dalam perjanjian. Islam mensyaratkan bahawa sesuatu perjanjian yang hendak dimeterai antara mana-mana pihak mestilah jelas tentang perkara yang menjadi isi kepada perjanjian tersebut. 

Perkataan ”jual beli secara gharar" itu bahawa larangan ini disebut dalam beberapa hadis seperti menjual ikan di dalam air sebagaimana disebutkan dalam hadis Ibnu Mas’ud di atas, menjual burung yang terbang di udara, barang yang tidak ada di tangan dan hamba yang hilang adalah merupakan sesuatu yang dipandang ada unsur gharar, ketidakpastian dan penipuan. 

Berdasarkan hadis di atas, membeli ikan di dalam merupakan gharar kerana sesuatu barangan itu tidak jelas dan tidak diketahui berapa banyaknya ikan yang ada di dalam air itu. Sesungguhnya jual beli melalui cara ini adalah dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur gharar. 

 Martabat hadis: Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud ini merupakan hadis sahih. Hadis yang ketiga: ( contoh jual beli secara menjual anak dalam kandungan binatang ) 

Terjemahan hadis: Dari Ibnu Umar r.a berkata: Rasulullah SAW melarang jual beli Habalil Habalah dan ia adalah jual beli seperti yang biasa dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah. Dan adalah seorang lelaki membeli seekor unta sehingga unta itu beranak, kemudian anaknya itu beranak pula. ( Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Bukhari ) 

Keterangan dari hadis: Habalil Habalah dalam hadis ini bermaksud menjual binatang yang berada dalam kandungan iaitu menjual janin yang masih di dalam perut binatang. 

Dalam hadis ini menerangkan bahawa perkataan ’habalil habalah’ itu menunjukkan batalnya jual beli kerana larangan itu telah menetapkan adanya batal. 

Berdasarkan daripada larangan itu, ada dua pendapat yang mengatakan illat ( sebab ) larangan jual beli ini iaitu pendapat yang pertama adalah kerana tidak diketahui tempoh pembayarannya. 

Manakala pendapat yang kedua mengatakan illat larangan itu adalah kerana termasuk jual beli secara gharar, tidak diketahui dan tidak dapat ditentukan bila, kemungkinan yang akan berlaku dan pembayarannya. 

Perkataan melarang membeli janin yang masih dalam perut binatang itu menunjukkan tidak sahnya membeli janin yang masih dalam kandungan, dan ianya telah disepakati oleh para ijma’ ulama kerana termasuk jual beli secara gharar, penipuan dan tidak dapat diterima. 

 Martabat hadis : Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar ini merupakan hadis sahih yang dipetik dari terjemahan hadis shahih bukhari. 

Hadis yang keempat: ( Contoh jual beli pakaian ) 

Terjemahan hadis: Dan dari Abi Sa’id bin Al-Khudri r.a berkata: Rasulullah SAW melarang jual beli secara mulaamasah dan munaabadzah. Mulaamasah ialah seseorang meraba pakaian orang lain dengan tangannya, pada waktu malam atau siang tetapi tanpa membalik-baliknya; dan munabadzah ialah seseorang melemparkan pakaiannya kepada orang lain, dan orang lain itu pun melemparkan pakaiannya, yang beerti masing-masing telah membeli dari yang lain tanpa diteliti dan tanpa saling merelakan. ( Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim ) 

Hadis yang kelima: ( Contoh jual beli buah-buahan yang belum masak ) 

Terjemahan hadis: Dan dari Anas berkata: Nabi SAW melarang muhaaqalah, mukhaadlarah, munaabadzah, mulaamasah dan muzaabanah. ( Hadis riwayat Bukhari ) 

Hadis yang keenam: ( contoh sistem barter ) Dari Abu Hurairah r.a berkata: Bahawa Rasulullah SAW melarang sistem jual beli mulaamasah (wajib membeli jika pembeli telah menyentuh barang dagangan) dan munabadzah (sistem barter antara dua orang dengan melemparkan barang dagangan masing-masing tanpa memeriksanya). ( Hadis riwayat Muslim ) 

 Keterangan dari hadis: Hadis yang keempat, kelima dan keenam ini adalah menerangkan bahawa Nabi SAW melarang jual beli secara mulaamasah dan munabadzah. Adapun mulaamasah ini merupakan satu kaum menjual barang tanpa melihat barangnya dan juga tidak diberitahu keadaannya. 

Dengan kata lain, mulaamasah ialah menjual dengan cara menyentuh barang dagangan tanpa di teliti oleh pembeli manakala munabadzah ialah menjual dengan cara melemparkan barang dagangan kepada si pembeli tanpa meneliti barang itu. 

Jual beli ini adalah dilarang dalam Islam. Sebab (illat) larangan jual beli secara mulaamasah dan munabadzah ini ialah kerana bersifat gharar, ketidakpastain, majhul dan batalnya hak khiyar majlis (memilih antara membatalkan atau meneruskan jual-beli), selama mereka belum berpisah dan masih bersama. Manakala jual beli dengan cara muhaaqalah dan mukhaadlarah iaitu menjual buah-buahan yang belum masak dan yang belum tentu boleh dimakan. 

Kedua-dua jual beli jenis ini juga dilarang dalam Islam kerana mempunyai illat yang sama iaitu tidak diketahui kesamaannya atau ada unsur penipuan. 

 Martabat hadis: Ketiga-tiga hadis yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id bin Al-Khudri, Anas dan Abu Hurairah r.a ini merupakan hadis sahih berdasarkan oleh sabda Rasulullah SAW.

Admin

Catat Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama