SEGMEN ILMU MAHLIGAI CINTA

ZINA ITU DOSA BESAR

Zina berasal daripada bahasa Arab dan digunakan perkataan yang sama di dalam bahasa Melayu. Maksud zina ialah perbuatan bersetubuh antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Dari pengertian syarak, zina tergolong dalam semua jenis perbuatan yang menjurus kepada persetubuhan yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang tiada ikatan perkahwinan yang sah mengikut syariat Islam. Perbuatan itu adalah berdosa besar dan amat dimurkai ALLAH.

Surah al-Israk ayat 32 bermaksud:

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”

Nabi Muhammad s.a.w. juga bersabda di dalam salah satu hadisnya mengenai zina iaitu:

“Zina kepada mata ialah memandang, zina telinga itu mendengar, zina tangan itu menjabat, zina kaki itu melangkah dan zina hati itu mengingini atau mengangan-angankannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Syariat Islam juga mentafsirkan perbuatan zina bukan sahaja terhad kepada persetubuhan haram malah perbuatan-perbuatan lain yang disertai oleh keinginan nafsu syahwat juga dianggap zina.

Di dalam al-Quran, dihuraikan mengenai hukuman yang wajib dikenakan ke atas pesalahnya tanpa melebihkan atau mengurangkan. Dari penghukuman hudud, mereka yang melakukan kesalahan zina boleh menerima satu antara dua hukum yang ditetapkan oleh al-Quran.

Hukuman pertama

ialah disebat 100 kali, hilang kelayakan menjadi saksi dan dihalau keluar dari qariah atau daerah mereka tinggal selama setahun. Hukuman ini adalah bagi penzina yang ‘ghairu muhsan’ yang bererti mereka yang tidak pernah menikmati persetubuhan melalui perkahwinan. Erti kata lain, mudah dilakukan oleh anak teruna dan dara.

Hukuman kedua

ialah direjam sehingga mati. Hukuman ini ialah bagi penzina yang ‘muhsan’ iaitu mereka yang telah menikmati persetubuhan melalui perkahwinan yang sah.

DAYUS DILAKNATI ALLAH

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w antara lain telah menghuraikan pengertian dayus apabila ditanya oleh sa­habat-sahabat yang mendengar ketika itu.

Menurut Baginda Rasulullah s.a.w:

“Pengertian dayus itu ialah orang yang tidak ambil peduli kepada siapa yang memasuki ke atas isterinya.”

Dengan mudah boleh difahami secara amnya, maksud sabda Nabi itu ialah seorang suami yang tidak ambil kisah tentang perbuatan zina yang dilakukan oleh isterinya malah meng­anggap perbuatan itu sebagai biasa sahaja.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Tiga orang yang tidak layak memasuki syurga iaitu orang yang menderhaka kepada ibu bapa, orang dayus dan wanita yang menyerupai lelaki di kalangan manusia.”

Timbul pula persoalan, adakah dihukum terhadap suami dayus yang memaafkan kesalahan zina isterinya dan tidak memutuskan ikatan perkahwinan mereka? Dalam hal ini keredaan si suami atas perbuatan haram isterinya itu adalah dianggap dayus juga. Memaafkan itu adalah sekadar kemaafan. Wajib ke atas isteri itu bertaubat nasuha dan me­rahsiakan perbuatannya itu dengan tidak menceritakan kepada orang lain demi maruah suami.

Kesimpulan bagi kedua-dua tajuk di atas ialah ia boleh memecah belahkan rumahtangga yang dibina yang mana akan menyebabkan reputasi, emosi dan integriti menjadi hancur. Tidak ada yang lebih baik selain daripada memahami dan mendukung dengan kuat ajaran agama.

Semua yang benar itu daripada ALLAH dan yang kekurangan itu daripada saya. WALLAHUA’LAM

Admin

Catat Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama