KEPERLUAN TASAWWUF

Imam Allamah Ahmad bin Ahmad Al-Junaidi (ulama’ kurun ke 13 Hijrah) berkata dalam karangan beliau (Risalah As-Sair wa As-Suluk Ila Allah): “Ketahuilah bahawasanya, menuntut akan kesempurnaan itu merupakan suatu perkara yang paling mulia untuk dicapai oleh seseorang. Kesempurnaan (Kamal) ialah suatu usaha tahalli (bersifat) dengan sifat-sifat yang terpuji dan takholli (menyucikan diri) daripada sifat-sifat yang terkeji., seperti sifat jahil, marah, hasad, berbangga diri, ujub, riyak, tertipu, mencintai kedudukan di sisi manusia, berbangga, memutuskan silatur rahim, mencintai kepimpinan, menyukai banyak bercakap, panjang angan-angan, tamak, buruk akhlak, mengintip kelemahan dan aib orang lain, mencari salah orang lain, mengumpat dan sebagainya.
Adapun sifat-sifat yang terpuji adalah seperti, menuntut ilmu, menyucikan jiwa dari sifat-sifat terkeji, bersifat mulia, pemurah, pemalu, bersopan santun, prihatin, sabar, tawadhuk, zuhud, syukur, tawakkal, mahabbah, kerinduan, redha, ikhlas dan sebagainya.
Adapun perjalanan dalam tasawwuf ialah, berusaha untuk bersifat dengan sifat- sifat yang sempurna (kamal) dan menyucikan jiwa daripada bersifat dengan sifat-sifat yang tercela. Perkara sedemikian adalah dituntut dalam syarak.
Lihatlah hadis Nabi s.a.w. yang sentiasa menegah umatnya daripada sifat-sifat buruk tersebut seperti sabda Baginda s.a.w.: “Janganlah kamu marah” diulang sebanyak tiga kali (hadis riwayat Al-Bukhari (5/2267) dan Ibn Hibban).
Disamping itu juga, Baginda s.a.w. sentiasa mengajak para sahabat untuk bersifat dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabda Nabi s.a.w.: “Carilah di sisi Allah, akan kelembutan dan simpatiNya”. Para sahabat bertanya: “Bagaimana sedemikian ya Rasulallah?” Baginda s.a.w. menjawab: “Hendaklah kamu menyambung silaturrahim mereka yang memutuskannya dari kamu, hendaklah kamu memberi kepada mereka yang menegahmu daripada pemberian (kedekut) dan hendaklah kamu berlembut terhadap mereka yang jahil tentang dirimu.” (Hadis riyawat At-Tabrani (17/269) dan Al-Hakim (4/178) )
Hadis-hadis yang menceritakan tentang kecelaan sifat marah dan tentang kepentingan dan kemuliaan sifat lembut dan baik hati terlalu banyak. Seseorang tidak dapat melalui proses penyempurnaan diri melainkan dengan mengambil suluk tarbiah tasawuf, begitulah untuk membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah yang lain dan untuk bersifat dengan sifat-sifat yang mahmudah, perlu dengan jalan tarbiah sufiyah.
Nukilan Al Fadhil Ustaz Ahmad Mukhlis @ Al Faqir101
0 Komentar untuk "KEPERLUAN TASAWWUF"
 
Copyright © 2014 Pembawa Berita Gembira - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info